SUNGAI BULOH: Ketua Jabatan Ortopedik Hospital Sungai Buloh yang didakwa terbabit dengan kes gangguan seksual digantung daripada menjalankan tugas selama dua bulan bermula semalam, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, keputusan menggantung tugas Ketua Jabatan yang sebelum ini diarahkan untuk bercuti dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak yang berkenaan, termasuk Kementerian Kesihatan.

“Kementerian Kesihatan akan memulakan siasatan dalamannya minggu hadapan dan laporan itu kemudian akan diserahkan kepada SPA untuk proses menamatkan perkhidmatan Ketua Jabatan berkenaan.

“Beliau bagaimanapun mempunyai hak untuk mempertahankan kedudukannya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tertutup bersama kakitangan jabatan, hari ini.

Minggu lalu, sebuah badan bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan mengesyorkan ketua jabatan itu digantung tugas.

Dzulkefly dilaporkan sebagai berkata akan cuba untuk menyelesaikan perkara itu.

Advertisements