KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini menyerbu sebuah pejabat anak syarikat FELCRA Berhad di Setapak di sini dan merampas pelbagai dokumen berkaitan kewangan dan pengagihan kontrak latihan bernilai RM4 juta kerana disyaki berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa.

Menurut sumber, serbuan di Setapak dilakukan oleh 10 pegawai SPRM bermula kira-kira jam 9.30 pagi.

Selain itu, pasukan SPRM turut melakukan serbuan serentak ke sebuah pejabat anak syarikat itu di Kelantan serta 10 buah pejabat syarikat yang menerima lantikan kontrak latihan di sekitar Pantai Timur, Lembah Klang dan Perak.

Sumber berkata, serbuan itu bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung dakwaan berlaku salah guna kuasa seorang pengurus kanan di anak syarikat FELCRA Berhad terbabit dengan melantik sekurang-kurangnya 10 syarikat luar yang dipercayai ada kepentingan kepada dirinya.

“Individu berusia 53 tahun itu didakwa melantik syarikat-syarikat luar yang dimiliki oleh anggota keluarga termasuk anak menantu dan kenalannya untuk membekalkan tenaga pengajar, pakar latihan serta kursus yang dikendalikan oleh anak syarikat FELCRA terbabit.

“Buat masa ini kita masih menyiasat sama ada individu berkenaan mempunyai kepentingan secara langsung dalam syarikat-syarikat berkenaan atau dia menerima faedah dalam bentuk ganjaran,” kata sumber.

Menurut sumber, salah guna kuasa itu dikesan bermula sejak 2014 dan berlarutan sehingga kini membabitkan nilai projek berjumlah mencecah kira-kira RM4 juta.

“Menerusi serbuan itu, kita membuat semakan dan merampas sejumlah dokumen terdiri daripada surat-surat pelantikan serta keputusan mesyuarat oleh syarikat berkenaan.

“Kita percaya masih ada beberapa lagi syarikat luar yang terbabit. Pengurus kanan itu juga disyaki menerima habuan pada setiap kontrak yang diperoleh,” kata sumber.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki hari ini mengesahkan serbuan itu.

Advertisements