KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu.

Mustapa berkata keputusannya itu susulan hala tuju UMNO pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya.

“Pada pandangan saya, hala tuju yang diambil UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan saya selama ini.

“Selepas bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dengan keputusan itu, Mustapa secara automatik menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan berpandangan usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.

“Tidak ada tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini,” katanya.

Mustapa berkata UMNO selaku peneraju Barisan Nasional tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata untuk terus relevan.

Katanya, UMNO harus menjadi sebuah parti yang inklusif, sederhana dan berhaluan tengah.

“UMNO mesti terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun tanpa sesekali mengetepikan kepentingan kaum dan agama lain.

“Saya percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk,” katanya.

Mustapa turut berpandangan sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat.

Advertisements