KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan frasa ‘cash is king’ yang sering digunakannya bukan bermaksud pemberian wang tunai untuk membeli sokongan atau merasuah seperti tanggapan segelintir pihak.

Beliau sebaliknya menyifatkan frasa ‘wang ialah raja’ yang dikesan mula digunakan secara meluas dalam dunia perniagaan sejak 1980-an itu menggambarkan perbezaan pendapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai hala tuju ekonomi.

“Ramai yang memberi komen di laman Facebook saya tidak mendapat gambaran betul mengenai ‘cash is king’. Benar bahawa ia pernah diutarakan kepada Dr Mahathir masa hubungan kami baik tetapi maksud frasa itu bukan untuk memberi wang tunai bagi membeli sokongan atau merasuah.

“Sebenarnya, ia menggambarkan perbezaan pendapat kami berdua berhubung hala tuju ekonomi kerana ketika itu Dr Mahathir tidak bersetuju mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), langkah rasionalisasi subsidi, gaji minimum, menaikkan gaji dan bonus penjawat awam.

“Beliau (Dr Mahathir) percaya bahawa kos pekerja dan kos perdagangan yang direndahkan oleh subsidi di Malaysia patut tetap direndahkan kerana pelabur asing tidak akan melabur di Malaysia jika kos tinggi,” katanya dalam catatan menerusi akaun Facebook rasminya, hari ini

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan sebaliknya menaruh kepercayaan pelaburan yang memerlukan pekerja bergaji rendah akan memilih negara lain dengan kos buruh lebih murah, malah ketirisan dan penyeludupan dijangkakan terus berleluasa jika subsidi diteruskan.

Sehubungan itu, beliau memilih percaturan supaya pelaburan di Malaysia bukan dibuat sekadar bersandarkan keperluan pekerja bergaji rendah, tetapi berdasarkan teknologi tinggi, infrastruktur dan sistem percukaian yang menarik.

“Pekerjaan yang diwujudkan pula bersifat mahir dan berpendapatan tinggi, manakala wang yang kerajaan peroleh daripada rasionalisasi subsidi serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dipulangkan kepada rakyat.

“Pulangan ini dibuat menerusi kaedah BR1M, peruntukan gaji lebih tinggi dan projek pembangunan infrastruktur. Saya nyatakan bahawa ‘cash is king’ kepada Dr Mahathir kerana kerajaan tidak sepatutnya menentukan bentuk subsidi yang diperlukan rakyat.

“Sebaliknya, kita pulangkan ‘cash’ atau wang dalam bentuk BR1M untuk mereka tentukan sendiri corak perbelanjaan sama ada menerusi pembelian petrol dan gula,” katanya.

Najib berkata bukan semua rakyat akan mendapat manfaat terus jika harga gula murah hasil peruntukan subsidi kerana segelintir kelompok masyarakat memilih untuk tidak mengambilnya dalam kadar berlebihan.

Selain itu, katanya, situasi sama dicerminkan dalam pemberian subsidi bahan api yang menyaksikan segelintir rakyat tidak memiliki kereta, sekali gus menjadikan mereka kelompok bukan penerima manfaat langsung daripada mekanisme berkenaan.

“Oleh itu, kita bagi ‘cash’ untuk rakyat sendiri memilih ke mana ia patut dibelanjakan. Pendapat saya ialah gaji dan pendapatan rakyat Malaysia terlalu rendah selepas sekian lama dan kadar ini patut dinaikkan.

“Negara maju mana yang gaji pekerja mereka masih rendah?” soalnya.

Advertisements