KUALA LUMPUR: UMNO kesal dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen UMNO yang bertindak keluar parti, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, meninggalkan UMNO ketika parti sedang diuji bukanlah sifat terpuji dan boleh diteladani.

“Kita perlu mempunyai sikap yang ikhlas dan memiliki daya juang yang tinggi dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti.

“Dalam keadaan ini, saya minta semua pimpinan dan ahli UMNO di semua peringkat agar bertenang, berlapang dada, terus yakin serta memberi kepercayaan kepada pimpinan parti bagi menangani keadaan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas tindakan dua Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman yang meninggalkan parti itu dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Ahmad Zahid berkata, UMNO mengambil berat perkembangan politik tanah air dan memandang serius situasi yang berlaku terutama kepada UMNO.

Katanya, dua Ahli Parlimen itu tidak wajar mengambil tindakan keluar parti walau atas alasan apa sekali pun kerana mereka dipilih sebagai wakil rakyat atas kepercayaan yang diberikan UMNO.

“Meletakkan alasan kelemahan parti kerana agenda peribadi sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

“Kita akan mengadakan Perhimpunan Agung UMNO 2018, akhir bulan ini. Saya harap tindakan ini tidak melemahkan kita malah, saya ingin menyatakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), pelbagai usaha dilaksanakan UMNO untuk mengukuhkan kembali keyakinan dan kepercayaan ahli dan rakyat kepada idealisme perjuangan UMNO, ” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO akan tetap dengan asas perjuangan bagi memastikan keadilan sosial dan nilai kesejagatan dikekalkan sejajar faktor kemajmukan di negara ini.

Katanya, UMNO akan tetap menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera serta membela hak semua kaum dalam negara ini.

Beliau berkata, selagi wujud sokongan ramai UMNO akan terus berjuang dalam apa keadaan sekalipun, biarpun ketika berdepan situasi mencabar ketika ini.

“Saya harap isu ini tidak melemahkan apa lagi melumpuhkan UMNO. Parti perlukan loyalis parti untuk terus hidup. Biarlah yang setia kepada perjuangan sahaja tinggal bersama UMNO.

“Dengan itu, parti dan segala rancangannya akan lebih mudah ditadbir serta berjalan dengan baik,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, dalam senario sedemikian, UMNO mengambil pendirian menerima keputusan mereka dan menghormatinya sekali gus mengucapkan selamat maju jaya kepada Ahli Parlimen berkenaan.

“Semoga jalan pilihan mereka akan memberi kepuasan kepada diri mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan menasihatkan semua pimpinan dan ahli parti untuk terus kekal bersatu padu dan bersama memastikan UMNO kekal relevan dalam landskap politik yang kian mencabar.

“UMNO ini sebuah perjuangan. Ini mesti diteruskan bersama pejuang parti yang istiqamah dalam perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta. Andalah mata rantai perjuangan yang panjang.

“Saya minta kita merapatkan saf dan melakukan usaha bersama agar UMNO bangkit semula menjadi parti kuat di negara ini. Saya yakin jika kita terus berpadu semua pihak akan menghormati kita, ” katanya.

Advertisements