PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed sepatutnya keluar daripada UMNO lebih awal, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Barangkali dia baru sedar, tapi lambatlah sikit. UMNO dah rosak, baru nak keluar la ni (sekarang ini). Tak apalah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Malam Anugerah Francais Malaysia 2018 di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Mustapa yang mengumumkan keluar parti selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk UMNO.

Ditanya sekiranya Mustapa mahu menyertai Pakatan Harapan, Dr Mahathir berkata, beliau perlu membuktikan dirinya berbeza daripada yang dahulu.

“Kalau nak ‘join’ (sertai), kena tunjuk dia berlainan daripada dahulu,” katanya.

Media melaporkan, keputusan Mustapa itu susulan hala tuju UMNO pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya.

Advertisements