SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan kini sedang mengenalpasti peratusan metanol dan elemen lain dalam beberapa jenama arak campuran yang menyebabkan kematian 19 individu sejak Isnin lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, lebih banyak siasatan termasuk ujikaji terhadap sampel kini sedang dijalankan.

Beliau berkata, mereka sudah memulakan ujikaji itu dan semua spesimen sudah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan di Sungai Buloh untuk memastikan kandungannya serta jenis bahan dalam minuman

berkenaan yang membawa kepada kematian mangsa.

“Kami perlu melakukan siasatan lanjut terhadap jenama (arak) terbabit. Ia adalah minuman keras dan kadang-kala, ada elemen lain yang dicampurkan. Ini bukan bahan asal. Ini adalah minuman keras yang dicampur.

“Salah satu bahan yang kami sudah dikenal pasti ialah metanol. Ia mungkin terlalu tinggi, jika tidak ia tidak akan membawa maut,” katanya pada sidang media di Hospital Shah Alam di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Hasil Pembedahan Katarak Pasifik Barat di sini.

Ditanya berapa lama perlu diambil sebelum hasil kajian diketahui, Dr Noor Hisham berkata, ia bergantung kepada jenis bahan campuran yang mereka kaji.

“Kami juga melihat peratusan kepekatan. Semua ini perlu disahkan terlebih dulu sebelum kami boleh membantu pihak polis untuk mengambil tindakan,” katanya.

Kementerian itu semalam mengesahkan seramai 19 individu maut selepas minum arak yang mengandungi metanol manakala 14 yang lain berada dalam keadaan kritikal.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Dr Noor Hisham berkata, sembilan orang yang lain juga ditahan di wad bagi tujuan pemerhatian.

Beliau dilaporkan berkata, sehingga jam 5 petang semalam, kementerian itu menerima sebanyak 51 makluman mengenai keracunan arak dengan 45 kes dilaporkan di Selangor manakala enam kes lagi di Kuala Lumpur.

Beliau berkat, tiga kes membabitkan warganegara Malaysia manakala 51 yang lain termasuk warga Myanmar, Nepal, Bangladesh dan India.

Advertisements