PUTRAJAYA: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) hari ini membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap seorang anggotanya yang menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap seorang ‘Datuk Seri’ yang menghadapi pertuduhan mencedera dan menyerang anggota RELA.

Pengarah Bahagian Operasi RELA, Mohamad Razib Buhaini yang mewakili RELA membuat laporan itu berkata, siasatan perlu dilakukan bagi memastikan jika terdapat unsur pelanggaran integriti atau rasuah kerana terdapat keraguan dalam keputusan yang diambil anggota RELA terbabit.

“Kita memohon bantuan daripada SPRM untuk menilai perkara ini demi menjaga nama baik jabatan,” katanya kepada media ketika tiba di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Mohamad Razib berkata, RELA meminta SPRM untuk meneliti perkara tersebut kerana terdapat unsur keraguan memandangkan anggota Rela itu secara tiba-tiba menarik diri daripada perbicaraan tersebut.

Menurutnya, tindakan anggota RELA itu, yang kini direhatkan daripada melaksanakan tugas, dibuat tanpa berbincang dengan pihak RELA terlebih dahulu dan pihaknya juga tidak mendapat sebarang maklum balas daripadanya susulan keputusan itu.

Pada 7 September lepas, Mahkamah Majistret Ampang melepas tanpa membebaskan seorang ahli perniagaan yang mendakwa dirinya ‘Datuk Seri’ daripada dua tuduhan iaitu mencedera dan menyerang anggota RELA yang sedang menjalankan tugas, tahun lepas.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memaklumkan bahawa seorang daripada tiga mangsa dalam kes itu telah menarik balik laporan polis terhadap Liow Soon Hee, 30.

Norhashimah berkata, penarikan laporan itu berikutan mangsa, yang juga pengadu dalam kes itu Melvin Cheong Mun Khai, 22, telah memaafkan tertuduh. 

Advertisements