SEREMBAN: “Saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang sedang bercuti di luar negara memberi ulasan ringkas itu melalui aplikasi WhatsApp apabila ditanya mengenai tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang mengumumkan keluar UMNO hari ini.

Mustapa yang lebih 40 tahun berkhidmat dalam UMNO, melalui satu kenyataan, berkata keputusan itu diambil kerana berpendapat hala tuju parti pada masa kini, tidak selari dengan perjuangannya.

Dengan keputusan itu, Mustapa secara automatik menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Dalam kenyataan yang sama, Mustapa berpandangan usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar dan sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat.

Advertisements