KUALA LUMPUR: Pemulihan semula FELDA dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun, kata Pengerusi FELDA, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Dalam sidang media pertamanya sejak dilantik ke jawatan itu pada 27 Julai lalu, Megat Zaharuddin berkata proses pemulihan itu adalah sukar memandangkan FELDA kini berdepan beberapa masalah utama.

Katanya, antara masalah itu membabitkan aliran tunai yang sangat rendah yang menyukarkan FELDA untuk memenuhi tanggungjawab hutangnya, selain kelemahan urus tadbir agensi berkenaan.

“Saya tak boleh mendedahkan dengan terperinci, namun aliran tunai FELDA hampir tiada ketika saya mula masuk ke pejabat,” katanya pada sidang media khas di Menara FELDA di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Besar FELDA, Datuk Ab Ghani Mohd Ali; Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pengurusan), Datuk Muzzammil Mohd Nor dan Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pembangunan Komoditi), Anuar Malek.

Megat Zaharuddin mengakui pemulihan semula FELDA antara yang mencabar sepanjang kerjayanya dan memerlukan sedikit masa bagi menzahirkan perkara itu.

“Beberapa langkah mitigasi sedang dan sudah dilaksanakan, antaranya menstruktur semula pinjaman dengan bank, selain perlu melupuskan beberapa aset hartanah dan saham, khususnya menerusi anak syarikat kami, iaitu Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

“Antara aset itu termasuk beberapa hotel dan apartmen di London, selain hotel di Kuching dan Kota Kinabalu serta tanah di beberapa lokasi,” katanya.

Megat Zaharuddin berkata, harga kumulatif semua aset yang disasar untuk dilupuskan itu adalah antara RM2.1 bilion hingga RM2.2 bilion ketika ia diperoleh dan FELDA serta anak syarikatnya mahu mendapatkan harga tertinggi bagi semua aset berkenaan.

Katanya, penjualan aset serta peningkatan aliran tunai hasil daripada perusahaan FELDA selepas proses pemulihan dijangka dapat mengurangkan beban hutang agensi itu yang berjumlah RM8.028 bilion setakat akhir Jun lalu.

Untuk permulaan, katanya, FELDA mensasarkan untuk mengurangkan kadar hutang itu kepada RM6.5 bilion menjelang hujung tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai masalah aliran tunai FELDA, Megat Zaharuddin berkata, ia antara punca tunggakan bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil kepada peneroka.

“Alhamdulillah, kami dapat hapuskan semua tunggakan berjumlah kira-kira RM48 juta kepada 26,000 peneroka dalam tempoh seminggu selepas saya dilantik sebagai Pengerusi,” katanya.

Advertisements