KUALA LUMPUR: Pemeriksaan telah dibuat ke atas semua strawberi segar yang diimport daripada Australia di semua pintu masuk negara susulan kes penemuan jarum menjahit dalam strawberi yang dijual di pasaran negara itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihak Berkuasa Australia juga memberi jaminan bahawa berkuat kuasa 19 Sept ini, produk tersebut yang akan dieksport dari negara itu bebas daripada pencemaran logam melalui pengeluaran Perakuan Permit (RFPs) kepada pengeksport.

“KKM bekerjasama rapat dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia berkaitan isu ini. Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengimport, ejen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan Australia telah mengarahkan penarikan balik produk strawberi jenama Berry Obsession, Berry Licious, Love Berry, Donnybrook Berries, Delightful Strawberries dan Oasis selepas penemuan beberapa kes buah tersebut yang mengandungi jarum dipercayai sabotaj.

Di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983, mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang mengandungi bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata pengguna tidak perlu khuatir kerana KKM sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu-isu yang berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin.

Advertisements