KUALA LUMPUR: Setiap surat rasmi kerajaan kini perlu diakhiri frasa ‘saya yang menjalankan amanah’, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Borhan Dolah, berkata Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007: Panduan Pengurusan Pejabat, Bahagian VI, perenggan 6.4(g) sebelum ini menyatakan bahawa setiap surat harus diakhiri dengan frasa ‘saya yang menurut perintah’.

Beliau menjelaskan penukaran penggunaan frasa pada sudut kiri surat rasmi, sebelum ditandatangani pegawai berkaitan itu selaras hasrat kerajaan supaya penjawat awam menghayati bahawa setiap perintah, tugasan dan tanggungjawab ialah amanah yang perlu digalas sebaiknya.

“Ia juga mempunyai sifat luhur dan murni, jujur kepada diri, rakan serta organisasi,” katanya menerusi pekeliling rasmi yang diedarkan untuk perhatian pihak berkaitan, hari ini.

Borhan berkata, sifat amanah ialah nilai asas yang perlu ada dalam setiap penjawat awam untuk menjalankan tugasnya mengikut bidang kerja masing-masing supaya kualiti perkhidmatan berada pada tahap tertinggi.

Katanya, ia juga sesuai dengan tanggungjawab yang digalas untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan selari hasrat membangun serta memajukan negara.

“Penggantian frasa ini hanya meminda perenggan 6.4(g), Lampiran A, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007,” katanya.

Advertisements