Dua ahli perniagaan dan juga pengarah syarikat itu, J R Deepak Jaikishan, 46, dan adiknya, J Rajesh, 45, sebagai plaintif memfailkan saman itu pada 12 September lalu melalui Tetuan Haniff Khatri Abdulla.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim S Nathan Balan.

Plaintif menamakan Najib, Rosmah, Datuk Ahmad Johari Abdul Razak, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Tan Sri Shukry Mohd Salleh sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Najib bertindak di luar batasan serta menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan Bank Kerjasama Rakyat Berhad memfailkan pelbagai tindakan guaman terhadap mereka terutama kepada plaintif kedua iaitu Deepak.

Deepak mendakwa ia bagi mengekangnya daripada memberi keterangan lisan secara jujur ketika perbicaraan kes sivil berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang membabitkan Najib, Rosmah dan Ahmad Johari.

Secara langsung dan tidak langsung, plaintif mendakwa semua defendan berkonspirasi dalam menyebabkan kerugian terhadap mereka.

Terdahulu, plaintif mendakwa ada memasuki perjanjian bertarikh 24 Julai 2008 dengan Bank Kerjasama Rakyat Berhad atas arahan Shukry (ketika itu Pengerusi Bank Kerjasama Rakyat).

Melalui perjanjian itu, plaintif mendakwa bank itu bersetuju untuk memberikan dan menyediakan kemudahan pembiayaan wang sehingga RM198,888,750 dan sebagai balasan mereka perlu menyerahkan hak mutlak dan kepentingan terhadap 80 unit pangsapuri dalam pembangunan iaitu Kondominium Palazzio Tower B.

Ia kononnya sebagai jaminan berterusan untuk pembiayaan itu dibayar tepat pada masanya.

Plaintif mendakwa sebenarnya beliau hanya menjadi proksi kepada Najib dan Rosmah berhubung pembiayaan itu.

Menurut plaintif, pembiayaan itu adalah bagi menyuntik aliran tunai atau memberi modal kepada mereka dan ia adalah hasil daripada tindakan melobi oleh Najib dan Rosmah.

Pada 19 April 2013, lanjutan daripada tindakan difailkan oleh Bank Kerjasama Rakyat Berhad terhadap mereka, plaintif membuat perjanjian penyelesaian dengan bank atas arahan Najib, Rosmah dan Shukry.

Bagaimanapun akibat perjanjian itu dilanggar, bank itu memfailkan tindakan mahkamah terhadap plaintif.

Pada 30 Jun 2016, satu penyelesaian berjaya dicapai oleh pihak bank dan plaintif dengan dicadangkan oleh Najib dan Rosmah menerusi Abdul Azeez di pejabat Shukry.

Melalui perjumpaan itu, plaintif mendakwa jumlah penyelesaian adalah sebanyak RM22 juta dan dipersetujui dengan syarat ia dibayar oleh Abdul Azeez selaku wakil Najib dan Rosmah yang juga pihak berkepentingan dan berminat terhadap hartanah itu.

Plaintif mendakwa, bukti kronologi berhubung pembabitan Najib dan Rosmah terkandung dalam surat bertarikh 8 Mei 2017 yang dikemukakan terhadap Shukry.

Mereka mendakwa, dalam surat itu juga antara lain menjelaskan bahawa jumlah RM22 juta ditahan daripada dibayar kepada bank (atas arahan defendan) lanjutan daripada tekanan atau peras ugut oleh Najib dan Rosmah berhubung tindakan plaintif kedua memberi keterangan dalam kes sivil berhubung Altantuya.

Menerusi surat bertarikh 30 November 2017 oleh Deepak dan adiknya Rajesh mendakwa persetujuan dicapai selepas Abdul Azeez bersetuju untuk membayar baki wang menerusi penjualan aset syarikat mereka kepada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Bagaimanapun plaintif mendakwa, akujanji Abdul Azeez itu gagal ditepati.

Semua plaintif kini sedang menuntut daripada Bank Kerjasama Rakyat Berhad dengan mendakwa bank itu melakukan penipuan, salah guna proses dan perlakuan tidak mengikut undang-undang terhadap mereka.

Selain ganti rugi RM50 juta daripada lima defendan, plaintif juga menuntut ganti rugi teladan sebanyak RM2.6 juta serta ganti rugi berpanjangan.

Plaintif juga menuntut relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Advertisements