MELAKA: Pengusaha sebuah restoran asam pedas di Taman Kota Laksamana, di sini, yang mengenakan caj RM18 bagi satu jag minuman sirap diberi notis lima hari untuk mengemukakan dokumen tunjuk sebab.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Jaiya Abu, berkata sepasukan anggota penguatkuasa sudah ke restoran terbabit semalam dan melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan anggotanya mendapati ada tanda harga dipamerkan di dinding premis makanan berkenaan.

“Hasil daripada pemeriksaan itu satu notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dikeluarkan kepada pengusaha premis dan diberi tempoh lima hari untuk memberi maklum balas dan mengemukakan dokumen berkaitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jaiya berkata, selain minuman sirap ais, pihaknya turut meminta pengusaha restoran mengemukakan dokumen tunjuk sebab membabitkan harga hidangan asam pedas ikan kembung.

“Kita juga mendapati, set asam pedas ikan kembung dijual antara RM9 hingga RM13.50 dan mereka perlu menunjukkan maklum balas mengapa ia dicaj sedemikian.

“Pihak kita akan menunggu maklum balas terlebih dulu sebelum dapat mengklasifikasikan sama ada kedua-duanya dikenakan harga yang melampau atau sebaliknya (mencatut atau tidak),”katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna di laman sosial memuat naik resit bayaran dikenakan selepas tidak berpuas hati apabila minuman sirap air yang dipesannya dicaj RM18 untuk satu jag.

Wanita itu memuat naik keterangan ‘Ya memang aku nak viralkan benda ni. Satu jug air sirap tu RM18? Harga lauk tu tak kisah tapi air sirap kau charge macam tu memang tak guna la restoren kau. Manners pekerja out. Kenapa aku viral tak cakap depan depan kat diorang? i did tapi boss sendiri layan macam sampah,’ katanya.

Advertisements