KUALA LUMPUR: Pihak terbabit dalam penyiasatan dan pendakwaan skandal penipuan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mengadakan pertemuan di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Jabatan Peguam Negara, pertemuan itu membabitkan pendakwa raya, pakar dalam pemerolehan aset dan penyiasat dari Amerika Syarikat, Singapura serta Switzerland.

“Peserta sedar akan kepentingan dan kesegeraan usaha sama serta kerjasama rentas sempadan dalam hal membanteras jenayah yang dilakukan pada peringkat antarabangsa dan merentasi sempadan negara.

Menurut Jabatan Peguam Negara lagi, mereka yakin mesyuarat itu akan menjadi penanda aras kepada usaha lebih besar pada masa depan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam didakwa kali ketiga di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah dan 21 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM2.3 bilion.

Beliau didakwa atas kapasiti sebagai pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Najib bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Beliau diikat jamin RM3.5 juta dan mahkamah menetapkan 16 November depan untuk sebutan semula kes.

Advertisements