BAU: Seorang anggota polis maut apabila terjatuh ke dalam longkang selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan di Taman Shenji, Siniawan, di sini, pagi ini.

Mangsa, Marekan Sobet, 56, yang berasal dari Kampung Buso, di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sumber berkata, selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya terbabas, mangsa sempat keluar dari kenderaannya dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu.

“Anggota paramedik dari Hospital Bau yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia, namun puncanya masih belum dipastikan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.34 pagi.

Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau yang disertai sebuah kenderaan EMRS dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi didapati seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri di dalam longkang dan anggota kami menggunakan scoop stretcher untuk mengambilnya.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Advertisements