PETALING JAYA : Adik ipar Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan, dan suaminya ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh CEO pada 14 Jun lalu itu.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairul Azhar Mohd Ishak, membenarkan tempoh reman sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 39 dan 41 tahun.

Siasatan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Turut ditahan reman pada 9 September lalu, anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun.

Bagaimanapun, semua suspek dibebaskan selepas tamat reman.

Terdahulu, mereka tiba di mahkamah pada jam 11 pagi kemudian diiringi anggota polis keluar dari bilik reman kira-kira jam 1.40 petang.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, Samirah pernah membidas badan penyiasat yang didakwa tidak telus dalam menjalankan siasatan dan menuduh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat dakwaan tidak benar mengenai kes kematian mengejut suaminya.

Wanita itu turut dilaporkan berkata, biarpun sudah membuat permohonan kepada pihak JBPM, dia tidak menerima sebarang laporan mengenai perkembangan siasatan kerana ia diklasifikasi sebagai kes berprofil tinggi.

Namun, pihak JBPM menafikan dan berkata keputusan yang diumumkan adalah berdasarkan hasil siasatan terperinci oleh manusia selain pasukan K9 iaitu anjing terlatih untuk mencari bukti.

Pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, telah mengklasifikasikan semula kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh.

Pada 14 Jun lalu, Nazrin dilapor meninggal dunia dipercayai berpunca daripada terhidu asap selepas kebakaran berlaku susulan telefon bimbitnya yang meletup semasa mengecas di bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara, di sini.

Cradle Fund ialah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia.

Ia adalah agensi yang memberi pembiayaan awal kepada syarikat yang berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga fintech iMoney.

Advertisements