KUALA LUMPUR: Satu unit dron ditemui tidak jauh dari bangunan kompleks Cawangan Khas, Bukit Aman, di sini, Rabu lalu.

Dron berkenaan ditemui oleh seorang pekerja kantin Cawangan Pengangkutan Kem Komandan Bukit Aman, sekitar jam 8.30 pagi.

Dia kemudian memaklumkan penemuan itu kepada seorang pegawai polis yang bertugas di Cawangan Pengangkutan sebelum melaporkannya kepada pihak Polis Daerah Dang Wangi.

Pada masa ini siasatan lanjut sedang dilakukan bagi membolehkan pemilik dron berkenaan dikenalpasti sama ada pemiliknya adalah warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) ataupun ‘orang luar’ yang mengendalikan dan menerbangkannya sehingga masuk ke dalam kawasan Bukit Aman.

Butiran lanjut mengenai penemuan dron berkenaan dilaporkan masih dalam siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, berkata pada masa ini pihaknya masih belum mengenalpasti pemilik dron berkenaan.

“Siasatan sedang dilakukan berdasarkan maklumat yang ada untuk membolehkan kita (polis) mengesan pemilik dron berkenaan untuk mengetahui bagaimana dron berkenaan berada di kawasan Bukit Aman.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 143(1) peraturan-peraturan penerbangan awam 2016,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, beliau meminta mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.

Advertisements