KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan menegaskan proses merejuvenasi parti adalah lebih penting sekarang berbanding meletakkan calon bagi PRK Port Dickson.

Menyifatkan tindakan pengosongan kerusi Port Dickson sebagai bersikap mementingkan diri sendiri (self-centric), Mohamad berkata UMNO sepatutnya menjauhkan diri dari terlibat dalam kancah politiking.

Ini kerana ia menyimpang dalam usaha membawa pembaharuan dalam UMNO.

“Tidak ada agenda yang lebih penting waktu ini, selain dari menjayakan usaha memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan ahli dan rakyat terhadap UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, amat penting untuk UMNO melakukan analisis dan kajian mendalam terhadap tahap sokongannya di semua kawasan Parlimen dan DUN di seluruh Malaysia.

Katanya lagi, semakan sebegini akan membolehkan UMNO merangka pelbagai strategi jangka pendek dan panjang yang khusus dan strategik kepada kelangsungan UMNO.

“Berdasarkan semua alasan ini, saya berpandangan bahawa UMNO tidak perlu terlibat dalam PRK di Port Dickson,” jelasnya lagi.

PRK Port Dickson akan berlangsung pada 13 Oktober ini manakala penamaan calon pada 29 September dan hari undi awal pada 9 September.

Kerusi Port Dickson dikosongkan bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sekali gus bagi mempersediakan beliau mengambil alih tampuk kepimpinan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad bersara.

Advertisements