MELAKA: Kandungan metanol antara 30 hingga 50 kali lebih tinggi daripada dibenarkan menjadi punca 33 individu maut akibat meminum arak mengandungi bahan itu di seluruh negara sejak minggu lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata kandungan tinggi bahan berkenaan dipercayai akibat kegagalan pemprosesan arak yang sepatutnya menghasilkan ethanol (sebatian alkohol).

“Sehingga hari ini, sebanyak 87 kes keracunan arak dilaporkan berlaku di empat negeri iaitu di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.

“Setakat ini, kementerian mengesahkan seramai 33 individu maut selepas minum arak mengandungi metanol dan tiada kes baharu dikesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Dunia Mengenai Perubatan Senaman (WCEM) 2018 di Hotel Equatorial, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penaung WCEM, Raja Datuk Seri Yong Sofia Almarhum Sultan Azlan Shah dan Pengerusi WCEM, Prof Datuk Seri Dr Jessy Lai.

Rabu lalu, media melaporkan seramai 19 individu sekitar Lembah Klang maut selepas meminum arak yang mengandungi metanol, manakala 14 kritikal dan sembilan lagi dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian.

Angka kematian terus meningkat apabila kebanyakan mangsa yang dimasukkan ke hospital, terutama di Selangor, dilaporkan meninggal dunia.

Susulan itu, pihak berkuasa di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan melancarkan serbuan di premis yang dikenal pasti menjual arak beracun berkenaan.

Advertisements