KUALA LUMPUR: Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) menegaskan pihaknya tidak terbabit penulisan sebuah artikel mengkritik Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, secara terbuka yang tular dalam media sosial, semalam.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji, berkata artikel bertajuk ‘Surat untuk Mat Sabu’ yang didakwa ditulis oleh Mejar (B) Mior Rosli itu tidak mewakili pandangan PATRIOT, malah penulis adalah bekas Setiausaha Kehormat persatuan itu.

“PATRIOT berpandangan setiap individu ada hak memberi pandangan dan kritikan, namun artikel itu menimbulkan keraguan serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan veteran tentera yang tidak mengetahui bahawa Mior adalah bekas Setiausaha Kehormat dan pandangannya tidak lagi mewakili PATRIOT.

“Ketika menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kami banyak mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa itu, malah kritikan sama turut dibuat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kritikan kami berbentuk membina, adil dan seimbang. Kritikan kami juga dibuat dalam cara paling beradab, berasaskan adat resam dan budaya kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Arshad berkata, pihaknya sudah dua kali bertemu Mohamad dan yakin menteri serta kementerian itu sedang berusaha bersungguh-sungguh melakukan perkara yang betul.

“Ia termasuk menyelesaikan pelbagai isu dibangkitkan sebelum ini dan masalah seperti kebajikan veteran tentera.

“PATRIOT memberi kepercayaan penuh kepada kepemimpinan Mohamad selaku Menteri Pertahanan, begitu juga dengan barisan menteri Kabinet yang lain.

“Majoriti daripada mereka kali pertama memegang jawatan sebagai menteri. Buat masa ini, kami memahami dan bersabar tetapi ia bukanlah untuk selama-lamanya,” katanya.

Semalam, artikel bertajuk ‘Surat untuk Mat Sabu’ tular dalam media sosial yang mengkritik pentadbiran Mohamad selaku Menteri Pertahanan.

Artikel itu didakwa ditulis oleh Mejar (B) Mior Rosli yang juga bekas Setiausaha Kehormat PATRIOT.

Bersama artikel itu, turut dimuat naik gambar Mior bersama beberapa ahli PATRIOT.

Bagaimanapun, Mior menerusi akaun Facebook (FB) milik beliau sudah menjelaskan kedudukannya dalam PATRIOT.

“Saya tidak ada kaitan dengan Persatuan Patriot Kebangsaan, kepada yang membaca tulisan, komen atau gambar saya yang disunting mengatakan diri saya dengan PATRIOT, tulisan, komen atau gambar itu bukan daripada saya kecuali yang dibuat sebelum November 2017.

“Saya tidak bertanggungjawab jika sesiapa menularkan kenyataan fitnah berkenaan.

“Jika sesiapa hendak kongsi tulisan saya, sila ambil sendiri di akaun FB saya, dan bukan daripada pihak ketiga,” katanya.

Advertisements