TAIPING: Pekerja kilang berusia 22 tahun diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, terhadap pertuduhan mencabul ibunya kandungnya pada 8 Mac tahun lalu.

Hakim Che Noralashiken Abd Razak membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atas pertuduhan cabul di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh sebelum ini didakwa atas kesalahan merogol ibu kandungnya itu namun di akhir kes pendakwaan hari ini, pertuduhan itu dipinda kepada kesalahan mencabul.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, tertuduh yang bekerja di sebuah kilang tayar di sini, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap ibunya yang berusia 50 tahun di rumah mereka di Kamunting di sini, kira-kira jam 7 malam pada hari berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan terbabit yang dibacakan sendiri Che Noralashiken dan akan membela diri.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Oktober ini untuk perbicaraan.

Ketika didakwa pada 15 Mac tahun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan minta dibicarakan sebelum hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun mengemukakan enam saksi pendakwaan termasuk mangsa sendiri sepanjang perbicaraan kes pendakwaan itu.

Tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Kathan.

Advertisements