KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dipercayai memberi akses penuh kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mendapatkan kuasa di Putrajaya.

Pendedahan itu dilaporkan wartawan dan Pengarang bersama Billion Dollar Whale, Tom Wright dalam temu bual bersama stesyen radio, BFM Breakfast Grille, hari ini.

Wright mendakwa hubungan Jho Low dengan Rosmah mendapat perhatian Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mendakwa Rosmah diperkenalkan melalui anaknya dengan perkahwinan terdahulu yang juga produser filem Hollywood, Riza Aziz.

“Rosmah adalah penting. Saya percaya beliau membantu Jho Low untuk memperoleh kuasa di Malaysia dan beliau mendapat timbal balas daripadanya (bantuan),” katanya seperti dilaporkan portal tempatan.

Wright mendakwa Rosmah dianugerahkan barang kemas, tunai dan pelbagai hadiah lain.

Wright kini berada di Malaysia untuk mempromosikan buku kontroversi yang ditulisnya bersama rakan sekerja, Wall Street Journal, Bradley Hope.

Najib didakwa atas lebih 30 tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan berkata penyiasatan terhadap Rosmah sudah siap dan mengemukakan penemuan serta cadangan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Jho Low menjadi buruan di Malaysia dan waran tangkap dikeluarkan kepada beliau dan bapanya, Tan Sri Larry Low, selepas kedua-duanya didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram dengan ketidakhadiran.

Advertisements