KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dijangka hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, pagi esok.

Rosmah dipanggil selepas menerima notis untuk memerintah kehadiran ke ibu pejabat SPRM di kediamannya di Jalan Langgak Duta, di sini, petang tadi.

Menurut sumber, tindakan memanggil Rosmah adalah bagi membolehkan siasatan selanjutnya berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan kes pengubahan wang haram.

Bagaimanapun pada masa ini masih belum dapat dipastikan sama ada kehadirannya esok ke pejabat SPRM sekadar merakam percakapan atau terus dibawa ke mahkamah untuk tujuan pertuduhan.

Terdahulu, anak Rosmah, Riza Aziz, yang juga Ketua Eksekutif Red Granite Pictures, dipanggil ke pejabat Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini, bagi memberikan keterangan dalam siasatan terhadap dakwaan menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdul, memberitahu bahawa pihaknya sudah menyiapkan kertas siasatan terhadap Rosmah dan sudah menyerahkannya kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan.

Sementara itu tinjauan media sejak jam 4 petang di laluan masuk ke rumah Datuk Seri Najib Razak tidak melihat sebarang kehadiran kenderaan SPRM, sebaliknya hanya beberapa kenderaan yang tidak berlogo.

Advertisements