KUALA LUMPUR: Tan Sri Rafidah Aziz mendakwa beliau pernah dihalang Pejabat Perdana Menteri (PMO) daripada terus mempersoalkan wang RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Rafidah mendakwa, pada 2015 beliau menulis artikel mempersoalkan dana kontroversi yang masuk ke dalam akaun Najib.

Bagaimanapun, katanya artikel yang ditulis untuk terbitan sebuah akhbar arus perdana itu tidak disiarkan kerana arahan daripada PMO.

“Ketika saya di hospital, selepas dua hari saya hantar (artikel), saya hubungi Utusan dan saya dimaklumkan bahawa PMO dengan kuasa veto melarang ia disiarkan.

“Saya terus persoal kenapa? (tidak siar). Walhal saya hanya bangkitkan persoalan mengenai status dana RM2.6 bilion itu sebab ia bukan nilai kecil,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bertajuk ‘Billion Dollar Whale’ di sebuah kedai buku di KLCC hari ini.

Selepas dihalang menulis di akhbar berkenaan, Rafidah menjadikan ruang media sosial seperti Facebook untuk mempersoalkan perkara itu.

Katanya, sewajarnya kerajaan pada ketika itu tidak patut menghalang beliau mempersoalkan isu itu kerana orang ramai turut bertanyakan hal sama.

“Maksudnya ada usaha di peringkat awal untuk halang. Kalau halang saya, memang tidak bolehlah kerana kita ada ruang awam seperti Facebook,” katanya.

Mengulas mengenai buku berkenaan, Rafidah mengakui sempat membaca bab tertentu setakat ini, menyaksikan beliau mendapat gambaran bahawa Najib seorang yang amat ‘baik’ sehingga senang diperkotak-katik oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Katanya, pengajaran yang diperoleh daripada kes itu ialah jangan tamak dan biarkan orang tidak berguna dengan mudah menyeleweng urus tadbir pihak berkuasa dan kerajaan.

Advertisements