KUALA LUMPUR: Pulangan pelaburan sehingga 150 peratus. Itu yang dijanjikan sindiket permainan kutu atas talian kepada 15 mangsanya.

Sindiket berkenaan menawarkan wang tunai percuma RM9,000 sekiranya pelabur membuat pembayaran pelaburan RM6,000 secara sekali gus dan perlu menunggu selama lima bulan untuk mendapat wang percuma berkenaan.

Modus operandi yang digunakan itu menyebabkan 15 wanita menjadi mangsa dengan kerugian keseluruhan lebih RM1 juta selepas wang pelaburan dilarikan ‘ibu kutu’,

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Aishah, 34, berkata dia mula menyertai permainan kutu itu tahun lalu selepas diajak rakannya.

“Saya yang berminat ketika itu kemudian menghubungi ibu kutu berkenaan dan ibu kutu meminta saya mencari rakan lain bagi mengisi slot yang kosong.

“Saya kemudian mengajak rakan saya untuk membuat pelaburan bagi memenuhi slot kutu ini,” katanya.

Aishah berkata, kumpulannya itu membuat pelaburan dengan jumlah yang berbeza bagi setiap seorang.

“Namun pada awal September lalu ibu kutu berkenaan memaklumkan akan membubarkan permainan berkenaan berikutan terdapat seorang lagi ibu kutu melarikan wang pemain.

“Dia berjanji untuk membayar balik wang pelaburan berkenaan namun sehingga kini wang terbabit tidak dikembalikan,” katanya.

Menurutnya, ibu kutu berkenaan mendakwa dia menjadi mangsa penipuan kerana wang terbabit dilarikan oleh orang lain.

“Namun selepas diselidik, ibu kutu terbabit memang menggunakan taktik itu untuk melepaskan diri.

“Saya dapat tahu ramai lagi mangsa di Selangor, Johor, Penang dan Sarawak menjadi mangsa penipuannya,” katanya.

Katanya, dia yang mewakili rakannya membuat laporan polis berhubung kejadian pada awal September lalu di Balai Polis Skudai, Johor.

“Namun saya diberitahu pihak polis tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana kutu yang dijalankan itu tidak didaftarkan.

“Kegiatan licik ibu kutu berkenaan pernah tular di laman sosial kerana banyak mangsa yang sudah tertipu. Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan ke atas wanita terbabit,” katanya.

Advertisements