JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia Johor mengesahkan menerima aduan mengenai dakwaan seorang rakyat Singapura dihalang memasuki negara ini selepas pasportnya didapati rosak dipercayai sengaja dikoyakkan pegawai Imigresen.

Mangsa turut mendakwa, pegawai Imigresen itu memintanya wang jika mahu memasuki Malaysia.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Rohaizi Bahari, berkata aduan diterima pada jam 12.30 tengah malam semalam dan kertas siasatan terus dibuka.

“Kita sudah menerima aduan mengenai salah laku seorang pegawai Imigresen yang dikatakan merosakkan pasport pelawat milik seorang warganegara asing.

“Aduan diterima pada jam 12.30 tengah malam semalam dan siasatan sudah dibuka terhadap pegawai yang berkenaan pada hari sama,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perlakuan salah laku membabitkan pegawai Imigresen dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pegawai itu jika terbukti bersalah.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan,” katanya.

Semalam, pengguna Facebook (FB) bernama Muhammad Fauzi memuat naik status di laman sosial miliknya mendedahkan kejadian menimpanya.

Dia mendakwa ditahan oleh seorang pegawai Imigresen di kaunter masuk Linkedua, Bangunan Sultan Abu Bakar, Tuas yang mempersoalkan mengenai pasportnya yang koyak, pada jam 11.30 malam kelmarin.

Dia mendakwa pegawai berkenaan menghalangnya memasuki Malaysia kerana keadaan pasport yang koyak walaupun diberitahu dia perlu segera pulang ke rumah untuk menemui isterinya.

“Pegawai itu kemudian menyuruh saya kembali ke Singapura kerana pasport saya koyak, melainkan sekiranya saya rakyat Malaysia, dia akan melepaskan saya masuk,” dakwanya yang terkejut kerana pasportnya tiada masalah, malah tiada sebarang kesan koyak ketika melepasi kaunter keluar negara di Singapura.

Advertisements