KUALA TERENGGANU: Seorang janda yang juga dikenali sebagai ‘pelacur otai’ mengaku salah terhadap pertuduhan persediaan untuk melacurkan diri di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, di sini, hari ini.

Justeru, wanita berusia 45 tahun berasal dari Johor itu bukan saja berdepan hukuman penjara malah dia juga boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali jika disabit kesalahan.

Tertuduh sebelum itu didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang mempromosikan khidmat seks menerusi aplikasi WeChat sebelum ini, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau enam sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang kini menetap di Klang, Selangor, ditahan dalam serbuan di Duyong Marina & Resort, di sini, bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya, kira-kira jam 11 malam pada 19 September lalu.

Hasil siasatan, tertuduh mengaku menerima upah khidmat seks diberikan dengan mengenakan bayaran RM1,000 untuk satu malam daripada pelanggan terbabit sebelum lapan barangannya dirampas dan disita termasuk beberapa botol minyak, jel pelincir dan kondom yang masih tidak digunakan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Kahzmizan Abdullah dihadapan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail manakala tertuduh diwakili peguambela, Fazru Anuar Yusof.

Sejurus pengakuan salah tertuduh direkodkan, Kamalruazmi menetapkan 10 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukuman sementara itu membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan dua penjamin yang mana salah seorang penjamin perlu terdiri daripada ahli keluarga terdekat.

Advertisements