NEW YORK: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri Malaysia seterusnya.

“Itu adalah janji saya,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjawab satu soalan pada Forum Tahunan Kedua Perniagaan Global Bloomerg yang dikendalikan wartawan, Fareed Zakaria.

Dr Mahathir berkata, beliau setuju menjadi perdana menteri kerana Anwar berada dalam penjara apabila kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran.

“Saya berjanji bahawa saya tidak akan kekal lama sebagai perdana menteri. Mungkin dua tahun, mungkin lebih, mungkin kurang.

“Apa yang penting ialah kita mempunyai kerja sama empat parti. Beberapa sejarah lalu kami tidak menyumbang kepada kerja sama itu.

“Justeru, kami perlu melupakan perkara lalu dan menumpukan kepada isu penting yang pada masa itu ialah untuk menumbangkan perdana menteri sebelum ini. Untuk itu kami sedia melupakan perbalahan lalu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia mahu perdana menteri baharu tetapi Anwar masih dalam penjara ketika itu.

“Rakyat mahu perdana menteri baharu, bukan perdana menteri lama ini, tetapi pada masa itu mereka tiada pilihan kerana pemimpin lain berada dalam penjara dan beliau pun tak boleh menerajui parti.

“Justeru, saya bersetuju bahawa saya akan berada di sana mungkin untuk dua tahun dan pemimpin baru akan mengambil alih kepimpinan,” katanya.

Mengenai usaha memerangi rasuah, Dr Mahathir berkata keutamaan adalah memastikan pemimpin adalah bersih.

“Jika pemimpin rasuah, tak mungkin kita dapat menghentikan rasuah daripada menular.

“Dalam setiap negara akan ada rasuah pada tahap tertentu tetapi matlamat kita ialah untuk mengekang rasuah pada tahap minimum dan ini dilakukan dengan apa yang kita panggil kepimpinan melalui teladan,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata, kerajaan serius dalam mengenakan sekatan terhadap anggota Kabinet, termasuk perdana menteri.

“Mereka semua dikehendaki mengisytiharkan harta dan pendapatan. Mereka akan diperhatikan bukan oleh ahli politik tetapi pegawai.

“Kami melakukan apa saja yang termampu untuk mengurangkan atau menghapuskan rasuah.

“Pada masa ini, rakyat berasa yakin bahawa kami menghentikan rasuah buruk yang menjadi amalan kerajaan terdahulu,” kata Dr Mahathir.

Advertisements