GUANGDONG: Kulit limau jeruk keluaran Jiabao jiuzhi chenpi, dari China yang popular di beberapa negara, termasuk Malaysia dan Singapura dikesan mengandungi kandungan plumbum yang tinggi.

Bagaimanapun, pengeluar produk itu yang terkenal dengan makanan ringan jenis jeruk berkata, kemungkinan berlakunya sebarang pencemaran bagi produk yang dipasarkan di luar negara adalah rendah.

Produk itu turut dipasarkan ke Amerika Syarikat dan Australia.

Laman web South China Morning Post melaporkan, ujian yang dijalankan oleh pihak berkuasa Pentadbiran Negeri bagi Peraturan Pasaran mendapati beberapa sampel produk Jiabao jiuzhi chenpi, mengandungi sehingga lapan kali ganda logam toksik yang dibenarkan.

“Pemeriksaan ke atas produk itu dijalankan sebanyak dua kali, iaitu pada Mac dan Mei lalu,” kata pihak berkuasa itu.

Menurut pemantau pasaran, pemeriksaan yang dijalankan pada Mac lalu berjaya mengesan kandungan plumbum tujuh kali ganda lebih tinggi daripada kadar yang ditetapkan.

Sementara, pemeriksaan pada Mei lalu pula mendapati kandungan plumbum enam kali lebih tinggi dari sepatutnya.

Mengikut piawaian pihak berkuasa China, kandungan plumbum dalam produk makanan tidak boleh melebihi kadar satu miligram bagi setiap kilogram.

“Ujian pertama menunjukkan kadar lapan miligram bagi setiap satu kilogram, manakala yang kedua menunjukkan kadar 6.69 miligram bagi setiap satu kilogram,” kata pihak berkuasa itu.

Plumbum adalah satu bahan semula jadi, tetapi boleh menjadi toksik kepada manusia jika diambil dalam jumlah yang banyak, sekali gus menjejaskan pelbagai sistem dalam badan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia amat berbahaya kepada kanak-kanak, terutama apabila dimakan dan ia boleh menyerang otak serta sistem saraf, sekali gus mengakibatkan koma, sawan dan kadang kala kematian. – AGENSI

Advertisements