PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan dibubarkan serta-merta kerana menimbulkan pelbagai masalah dan melanggar perlembagaan parti.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan itu dibuat hasil mesyuarat pimpinan tertinggi parti berkenaan hari ini.

Katanya, parti mengambil keputusan membubarkan semua bahagian dan cawangan di negeri berkenaan termasuk sayap Pemuda Armada dan Srikandi.

“Parti membubarkan BERSATU Negeri Sembilan kerana kita terima banyak masalah, macam-macam perkara mereka lakukan. Negeri Sembilan saja negeri yang banyak masalah dan walaupun kita ingin buat pertukaran (pimpinan), tidak dapat dilakukan kerana ada isu membabitkan perlembagaan parti.

“Justeru, satu daripada cara diputuskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) ialah dengan membubarkan badan pimpinan negeri dan bahagiannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi BERSATU di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, susulan pembubaran itu, parti akan menubuhkan BERSATU Negeri Sembilan yang baharu.

“Parti mengambil keputusan Bekas Penasihat Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim akan membantu untuk menubuhkan BERSATU yang baharu di Negeri Sembilan,” katanya.

Selain Negeri Sembilan, beliau berkata dua bahagian BERSATU di Selangor turut dibubarkan iaitu Ampang dan Subang kerana melanggar perlembagaan parti.

Ditanya sama ada keputusan membubarkan BERSATU Negeri Sembilan akan mempengaruhi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang ditandingi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhyiddin berkata, ia tidak akan memberi sebarang kesan.

“Pimpinan tertinggi parti akan tetap turun membantu kempen Pakatan Harapan (PH). Saya melihat ia tidak akan mempengaruhi PRK Port Dickson,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Senator Datuk Marzuki Yahya dilantik sebagai Setiausaha Agung BERSATU yang baru menggantikan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh manakala Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin menggantikan Datuk Kamaruddin Mohd Noor sebagai Ketua Penerangan yang baru.

“Saya mengucapkan tahniah di atas pelantikan baharu ini dan terima kasih kepada Mantan Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan yang berkhidmat kepada parti sejak penubuhannya.

Advertisements