WASHINGTON: Rangkaian makanan segera terkenal dunia, semalam mengumumkan burger ikon restoran itu, termasuk Big Mac dan Quarter Pounder dengan Keju, tidak lagi mengandungi pengawet tiruan, perasa tiruan atau pewarna tambahan daripada sumber tiruan.

Cuma kepingan jeruk masih mengandungi pengawet tiruan, kata restoran makanan segera gergasi Amerika Syarikat itu, menyatakan ‘pelanggan boleh mengelak jika mereka tidak mahukan bahan itu.’

Perubahan itu berkuat kuasa di semua 14,000 restoran di AS, kata syarikat berkenaan dalam kenyataan.

Ia adalah cubaan besar bagi McDonald’s, yang kerap dipandang juara makanan ringan, untuk menarik atau mengekalkan pelanggan yang prihatin mengenai pemakanan mereka.

“Berpaling kepada 100 peratus daging segar dalam burger kami, memasak dengan betul apabila ditempah, kepada membuang pengawet tiruan dalam Chicken McNuggets, dan menghasilkan telur tanpa sangkar menjelang 2025, kami melakukan langkah penting dalam mengembangkan kualiti makanan kami,” kata presiden syarikat berkenaan di AS, Chris Kempczinski.

Buat masa ini, hampir dua pertiga daripada burger dan sandwic syarikat itu bebas daripada produk tiruan, yang dibuang daripada kepingan keju, sos khas Big Mac dan beberapa jenis roti.

Langkah itu sebagai reaksi kepada peningkatan corak penjagaan kesihatan di AS, terutama peralihan kepada produk organik selain peningkatan kesedaran bagi produk asli dan kualiti.

Ia juga adalah cara menangani persaingan daripada burger lain seperti

Five Guys, yang menekankan kesegaran, atau daging lembu tradisional seperti Wendy’s, yang menggunakan slogan ‘sentiasa segar, tidak pernah dibekukan’. — AFP

Advertisements