NEW YORK: Malaysia sedang berusaha untuk membawa pulang usahawan yang kini menjadi buruan, Low Taek Jho atau Jho Low daripada China. 

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata usaha bawa pulang Jho Low itu akan menggunakan cara tidak rasmi. 

Tambah beliau, Malaysia juga tidak mengemukakan kepada China sebarang permohonan untuk mengekstradisi Jho Low. 

“Ia agak bahaya juga untuk kami mendakwa China menyembunyikan dia (Jho Low). Jadi, kami sedang berusaha beberapa cara tidak rasmi untuk mendapatkan Jho Low daripada China,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada Jho Low berada di China semasa pertemuan bersama Majlis Hubungan Luar Amerika Syarikat di sini hari ini. 

Pada sesi pertemuan itu, Dr Mahathir turut diajukan beberapa soalan dan pandangan termasuk berkenaan dana RM2.6 bilion yang didakwa merupakan sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi termasuk berkaitan dasar serta polisi yang dilaksanakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Advertisements