KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan agihan pendapatan 6 sen seunit bagi pemegang akaun Amanah Saham 1Malaysia (AS1M).

Pengerusi Kumpulannya, Tan Sri Dr Zeti Aziz, berkata ia membabitkan jumlah pembayaran RM755 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 440,000 pemegang akaun yang kini memiliki 12.7 bilion unit.

“AS1M mencatat pendapatan bersih RM671.6 juta, susut 7.3 peratus berbanding RM724.1 juta pada 2017, berikutan prestasi pasaran ekuiti domestik yang mencabar,” katanya ketika mengumumkan pengagihan pendapatan AS1M dan pelancaran serta penjenamaan semula dana Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) di sini, hari ini.

Dr Zeti berkata, seiring dengan matlamatnya untuk memperluaskan tawaran produk unit amanah bagi memenuhi keperluan pelabur, PNB memperkenalkan dua dana unit amanah harga baharu berdasarkan harga hadapan iaitu ASN Equity 5 dan ASN Sara 2.

Katanya, dana baharu itu akan memperluas tawaran semasa produk ASNB bagi segmen harga berubah daripada enam ke lapan meliputi kategori pertumbuhan, seinbang bercampur-campur dan konservatif bercampur-campur.

“ASN Equity 5 adalah dana pertumbuhan ekuiti khusus kepada pelabur generasi muda dengan matlamat pertumbuhan agresif dalam modal dan nilai bersih.

“Sementara ASN Sara 2 adalah dana konservatif aset bercampur-campur khusus untuk pelabur lebih matang dan tidak mahu mengambil risiko,” katanya.

Beliau berkata, harga tawaran permulaan bagi kedua-dua dana itu adalah RM1 seunit sepanjang penawaran permulaan selama 21 hari mulai 24 September.

Selain itu, PNB turut menjenamakan semula dana unit amanah berharga tetap ASNB dalam usaha memberi pemahaman yang mudah dan jelas kepada pelabur.

Berkuatkuasa 15 Oktober ini, tiga dana iaitu Amanah Saham Didik dijenamakan semula kepada Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik); Amanah Saham Wawasan 2020 kepada Amanah Saham Malaysia 2 Wawasan (ASM 2 Wawasan) dan Amanah Saham 1 Malaysia kepada Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3).

Dr Zeti berkata, jenama dana ekuiti di bawah ASNB akan dikategorikan kepada dua iaitu ASB khusus untuk Bumiputera dan ASM yang terbuka untuk semua rakyat Malaysia.

“Penjenamaan semula jenama dana berkenaan berikutan nama yang terdahulu tidak lagi relevan kepada pasaran semasa dan terdapat pelbagai dana tetapi fungsi yang agak sama,” katanya.

Meskipun berdepan situasi mencabar, PNB mengekalkan aset kewangan positif bagi tempoh berakhir 31 Ogos 2018 dengan aset di bawah pengurusan meningkat 7.3 peratus kepada RM288.1 bilion berbanding tahun lalu, manakala pendapatan bersih proforma yang disatukan meningkat 2.6 peratus kepada RM10.3 bilion.

Melangkah ke hadapan, Dr Zeti berkata PNB perlu meneroka bidang baru yang mampu menjana nilai dan memacu pertumbuhan.

Advertisements