GEORGE TOWN: Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bakal dipanggil untuk membantu siasatan berhubung barangan kemas yang dikaitkan dengan 1MDB.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata Rosmah mungkin dipanggil dalam masa terdekat untuk tujuan tersebut.

“Ya, kita akan panggil beliau. Ia berkaitan dengan rampasan barang kemas milik beliau. Tapi belum masa lagi, mungkin dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi PDRM 2018 di Universiti Sains Malaysia, di sini, tadi.

Menurutnya, selain Rosmah, Datuk Seri Najib juga akan didakwa lagi kerana polis masih menyiasat kes 1MDB.

“Datuk Seri Najib juga akan didakwa lebih banyak lagi kerana polis masih menjalankan siasatan kes 1MDB,” katanya

Sebelum ini, Najib ditahan untuk siasatan berhubung skandal 1MDB membabitkan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadinya.

Najib turut menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) dan empat lagi pertuduhan pindaan berhubung RM42 juta dana SRC International dalam akaun peribadinya.

Mengulas berhubung wang Umno bernilai RM116.7 juta yang dirampas, Noor Rashid berkata, wang itu hanya akan ditentukan oleh mahkamah sama ada akan dipulangkan atau diambil tindakan di bawah pelucutan hak.

Namun, ia bergantung kepada hasil siasatan yang akan diperoleh nanti.

Advertisements