PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyifatkan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai harga perlu dibayar untuk sebuah perjuangan.

Menurut Abdul Azeez, beliau tidak akan meninggalkan perjuangan Umno walaupun diuji pelbagai dugaan.

“Jika saya telah keluar dari Umno minggu lepas, anda tidak akan lihat saya begini (berbaju lokap SPRM dan bergari) hari ini. Namun, apa pun dugaan, rintangan atau ugutan yang datang, hatta ke penjara sekalipun saya tetap tidak akan meninggalkan perjuangan parti keramat UMNO ini,” katanya dalam status yang dimuat naik pentadbir akaun Facebook miliknya, hari ini.

Abdul Azeez, abang serta sepupunya direman empat hari sejak semalam (Rabu) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan kontrak projek Tabung Haji.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan SPRM.

Bekas Pengerusi Tabung Haji itu dan abangnya yang merupakan pengurus besar sebuah syarikat dipercayai menerima rasuah daripada syarikat kontraktor.

Advertisements