SEREMBAN: Calon kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan keputusan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad untuk merebut kerusi tersebut atas tiket bebas pada 13 Oktober ini.

Beliau berkata, itu terpulang kepada hak individu untuk bertanding berlandaskan amalan sistem demokrasi.

Ujar anwar yang juga bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau yakin rakyat akan membuat keputusan sebaik-baiknya untuk memilih pemimpin.

Bagaimanapun, beliau berharap semua pihak akan bertanding mengikut kaedah yang sepatutnya dan tidak menggunakan jentera kerajaan dalam berkempen.

“Sebagai rakyat, saya tak ada apa (hendak) komen. Itu hak dia dalam sistem demokrasi.

“Dia masalah semua diketahui umum.. Media, rakyat dan pengundi putuskan dengan sebaik-baiknya.

“Pas tak umumkan secara rasmi. Tunggu malam ni lahh…. siapa pun bertanding, itu hak masing-masing. Bertanding dengan kaedah yang baik, ikut peraturan yang baik.

“Saya telah bagitahu kepada rakan rakan supaya jangan gunakan jentera kerajaan, biar ngo dalam parti politik bertugas,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran tayangan istimewa filem Tamil Chekka Chivantha Vaanan di Era Square, Seremban malam Khamis.

Tan Sri Mohd Isa yang juga bekas Ahli Parlimen Jempol itu hari ini mengesahkan beliau akan bertanding sebagai calon bebas dalam PRK Port Dickson.

Katanya, keputusan itu dibuat berikutan UMNO tidak meletakkan calon di kawasan berkenaan.

Hari mengundi PRK Parlimen Port Dickson  jatuh pada 13 Oktober dan hari penamaan calon pada 29 September manakala hari pengundian awal pada 9 Oktober.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lepas untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Advertisements