PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan polis untuk menggali semula kubur jenazah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Jun lalu.

Difahamkan, permohonan itu dibuat untuk mendapatkan mayat Nazrin bagi menjalankan bedah siasat kali kedua.

Permohonan itu dibuat pegawai penyiasat kes itu di dalam kamar Majistret Nor Ariffin Hisham.

Terdahulu, beberapa ahli keluarga Nazrin tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira jam 9.40 pagi sebelum keluar kira-kira 40 minit kemudian.

Pada 4 September lalu, isteri Nazrin, Samirah Muzaffar dan bekas suaminya yang masing-masing berusia 43 tahun ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.

Turut ditahan reman, anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun pada 9 September lalu.

Selain itu, pada 24 September lalu, sepasang suami isteri yang juga adik ipar kepada Nazrin pula direman empat hari.

Bagaimanapun, kesemua suspek dibebaskan selepas tamat reman.

Advertisements