KUALA TERENGGANU: Gara-gara mencuri Nescafe di sebuah pasar raya, suri rumah dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Azlina Mamat, 41, dari Kampung Paya Keladi, di sini, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.

Mengikut kertas pertuduhan, Nor Azlina didakwa mencuri tujuh bungkus Nescafe Classic 300 gram bernilai RM164.43 milik Pasaraya Sabasun Hypermarket jam 4.20 petang, 26 September lalu.

Mengikut fakta kes, pengawal keselamatan yang bertugas ternampak gelagat pelanggan wanita dalam keadaan mencurigakan ketika berada di lorong barangan Nescafe, sebelum menghubungi rakan setugasnya untuk membuat pemantauan melalui rakaman litar tertutup (CCTV).

Dalam masa sama, pengawal keselamatan itu mengekori pergerakan tertuduh sebelum ternampak wanita itu mengisi tujuh bungkusan Nescafe ke dalam troli sebelum ke bahagian beras.

Ketika berada di lorong beras, Nor Azlina meninggalkan troli di situ dan keluar dari pasar raya berkenaan tanpa membuat pembayaran.

Dia kemudian ditahan pengawal keselamatan berkenaan sebelum diserahkan kepada polis.

Advertisements