KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi keterangan hampir tiga jam di Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA), di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu tiba di menara berkenaan jam 9.40 pagi, namun tidak menggunakan laluan utama walaupun kira-kira 50 petugas media dari pelbagai agensi menunggu sejak jam 8.30 pagi.

Difahamkan, Najib hadir kali ketiga untuk memberi keterangan kepada Unit AMLA berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta proses transaksi kewangan pada 2011.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman sebelum ini dilaporkan akan memanggil semula Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berikutan pihak berkuasa memerlukan maklumat tambahan daripada pasangan terbabit untuk membantu siasatan.

Rosmah juga akan dipanggil untuk dirakam keterangan dan mengenal pasti barangan dirampas.

Pada 27 Ogos lalu, Najib hadir bersama peguamnya ke pejabat AMLA, bagi membantu siasatan berhubung 1MDB sekitar jam 10 pagi.

Beliau sekali lagi hadir di unit berkenaan pada 30 Ogos lalu, namun gagal dikesan pihak media selepas beliau dipercayai menggunakan laluan belakang menara.

Sebelum ini, Najib berhadapan dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) dan empat tuduhan lain berhubung dana RM42 juta milik SRC International yang berada dalam akaun peribadinya.

Advertisements