KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, masing-masing memberi keterangan berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Najib hadir memberi keterangan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, jam 9.40 pagi tadi.

Rosmah pula yang tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada jam 10.42 pagi tadi memberi keterangan kepada agensi itu untuk kali ketiga.

Difahamkan, Rosmah disoal siasat berhubung syarikat subsidiari 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan pengubahan wang haram.

Ini mungkin kali terakhir Rosmah dipanggil untuk memberi keterangan sebelum dihadapkan ke mahkamah terhadap beberapa pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.

Kali pertama beliau hadir di SPRM ialah pada 5 Jun lalu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB sebelum ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 September lalu, Rosmah sekali lagi memberi keterangan kepada SPRM hampir 13 jam.

Tindakan memanggil beliau adalah bagi membolehkan siasatan selanjutnya berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan kes pengubahan wang haram.

Advertisements