PUCHONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja yang dikhuatiri lemas di lombong Taman Putra Perdana berhampiran kawasan perumahan D’Island, di sini, dihentikan buat sementara.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata operasi itu ditangguhkan selepas Pasukan Penyelam Polis Marin enggan mengambil risiko membahayakan nyawa berdepan arus deras di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan penilaian bagi memastikan keadaan selamat sebelum sebarang tindakan diambil.

“Selepas kejadian malam tadi, kita tidak mahu insiden sama berulang, pasukan penyelamat akan memastikan lokasi kejadian selamat sebelum operasi diteruskan.

“Memandangkan hujan, kita terpaksa menghentikan sementara operasi dan akan memulakan operasi mencari dan menyelamat sebaik hujan reda.

“Operasi akan diteruskan sehingga mangsa ditemui,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Operasi SAR disertai 150 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Pengurusan Bencana Selangor dan lain-lain.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata pihaknya sudah merakam keterangan daripada dua remaja rakan kepada mangsa yang menjadi saksi kepada kejadian

“Kita kategorikan kes ini sebagai SDR (mati mengejut), kita juga akan rakam percakapan daripada anggota bomba yang berada di lokasi.

“Ini adalah kes ketiga untuk tahun ini, awal tahun lalu ada dua kematian yang berlaku di lombong ini, membabitkan dua lelaki dari Sabah,” katanya.

Enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lemas ketika melakukan operasi SAR Mohd Ilham Fahmy malama tadi.

Kejadian itu membabitkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Advertisements