PUCHONG: “Saya bersyukur anak saya ditemui walaupun sedih, saya lega jasadnya dalam keadaan baik,” luah Mohammad Azzam Naim, 46, bapa kepada Muhammad Ilham Fahmy, 17, yang dilaporkan lemas di Lombong Taman Putra Perdana berhampiran perumahan D’Islands di sini, semalam.

Mohammad Azzam berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam usaha mengesan anaknya.

“Jenazah anak saya akan dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Sebaik selesai, kami merancang untuk mengebumikan jenazah malam ini juga di Taman Putra Perdana.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 5.45 petang tadi.

“Pelbagai kaedah digunakan bagi mengesan lokasi mangsa sejak operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan petang semalam.

“Selepas lebih 24 jam, mangsa berjaya ditemui kira-kira 800 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh dalam keadaan memakai seluar.

“Mangsa ditemui ketika anggota bomba sedang membuat penilaian di lokasi itu untuk membawa anjing pengesan sebelum mayat remaja terbabit ditemui terapung di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pelbagai kaedah digunakan pasukan penyelamat termasuk khidmat penyelam, pencarian di permukaan dan unit anjing pengesan (K9) serta pam air.

“Sebaik ditemui, anggota bomba mengangkat mayat mangsa menggunakan bot.

“Mayat mangsa kemudian disahkan oleh bapa mangsa sebelum dihantar ke Hospital Serdang untuk mengenal pasti punca kematian remaja berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan dua rakan mangsa yang berada di lokasi ketika kejadian,” katanya yang memaklumkan operasi SAR dihentikan pada jam 6.30 petang tadi.

Katanya, beliau berterima kasih kepada semua pihak dan agensi yang terbabit dalam operasi berkenaan.

Dilaporkan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ditemui lemas ketika melakukan operasi SAR seorang remaja lelaki, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, ditemui lemas ketika operasi kira-kira jam 9 malam tadi.

Advertisements