SUBANG: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan tengah hari ini bagi membawa jenazah Allahyarham  Yahya Ali, 24 tahun,  yang maut di lombong Taman Perdana Puchong, semalam.

Jenazah Allahyarham telah diterbangkan oleh pesawat CN 235 daripada Detasmen No 1 Skuadron milik TUDM dari Pangkalan Udara Subang ke lapangan terbang Sibu.

Penerbangan ihsan ini dikendalikan oleh Mejar Nur Husna Bazlin bt Rosli TUDM serta pembantu juruterbang serta dua orang krew.

Turut hadir bagi mengiringi jenazah adalah Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan, Kerajaan  Tempatan Malaysia, Dato’ Sri Hj Mohamad Mantek dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dato’ Sri Hj Wan Mohd Nor Hj Ibrahim bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham.

Jenazah seterusnya akan dibawa ke kampung halamannya di Kampung Tian, Matu di Bahagian Mukah untuk disemadikan.

Terdahulu, jenazah yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang terlibat dengan Search And Rescue (SAR) di laporkan maut bersama enam lagi anggota bomba dalam misi menyelamat seorang remaja 17 tahun yang lemas akibat tergelincir ketika memancing di lombong Taman Perdana Puchong, semalam.

Advertisements