KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin berkata ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low pernah menghubunginya untuk menawarkan bantuan.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) itu berkata, Jho Low bertindak menghubunginya untuk menawarkan diri membantu mencari aset yang mempunyai kaitan akibat penyelewengan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam perbualan itu, Daim berkata, Jho Low sempat membuat permintaan kepadanya supaya kerajaan memberikan imuniti.

“Dengan aset berkenaan, dia cakap dia boleh bantu kita (kerajaan) untuk dapatkan semula aset-aset dan beri kita satu atau dua nama (orang yang terbabit).

“Saya balas, apa kata ajak mereka jumpa saya,” katanya dalam temu bual bersama Channel News Asia, yang disiarkan portal berita berkenaan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai permohonan imuniti oleh Jho Low kepada kerajaan, Daim menolak permintaan itu.

Daim berkata, sekiranya Jho Low perlukan bantuan, maka anak kelahiran Pulau Pinang itu mesti pulang ke Malaysia terlebih dulu.

“Saya cakap tidak kepada dia. Jika dia mahu bantuan, lebih baik pulang (ke Malaysia) supaya kita boleh berbincang.

“Dia kata, dia tidak bersalah tetapi saya balas, kalau tidak bersalah pulanglah (ke Malaysia). Kenapa pula perlu lari?” katanya.

Advertisements