KUALA LUMPUR: Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang didakwa atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hari ini membayar jaminan RM1 juta daripada jumlah keseluruhan RM2 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Dua wanita yang dipercayai penjamin Rosmah hadir ke mahkamah kira-kira jam 10.15 pagi dan terus menuju ke kaunter bayaran jaminan di tingkat bawah Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini untuk menandatangani dokumen berkaitan urusan ikat jamin.

Sejurus bayaran jaminan itu dibuat oleh dua wanita berkenaan yang memakai baju kurung dan bertudung, mereka meninggalkan Kompleks Mahkamah pada jam 11.15 pagi dengan sebuah kenderaan.

Oleh itu, setakat ini Rosmah sudah melunaskan RM1.5 juta daripada jumlah RM2 juta itu.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN.

Mahkamah membenarkan Rosmah diikat jamin RM2 juta dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan dua syarat menyerahkan dua pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi dan bakal saksi pendakwaan selain menetapkan 8 November untuk sebutan semula kes. 

Advertisements