KUALA LUMPUR : Seorang lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh seekor kucing bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, direman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman susupek berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri di Mahkamah Majistret Selayang.

Suspek direman sehingga Khamis ini bertujuan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan membunuh haiwan.

Terdahulu, lelaki yang memakai baju merah itu masuk ke Mahkamah Majistret kira-kira jam 10.15 pagi sebelum keluar 45 minit kemudian. Turut kelihatan, peguam mewakili suspek, Rajsurian Pillai.

Difahamkan, suspek yang juga pekerja kontrak itu ditahan polis malam tadi di Seri Kembangan selepas hampir sebulan dia melarikan diri.

Sebelum ini, pada 21 September lalu, dua rakannya, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan dengan kejam menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap haiwan itu.

Kedua-dua tertuduh, A Mohanraj, 41, pemandu teksi dan rakannya, S S Satthiya, 26, bagaimanapun ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana tidak mampu membayar jaminan masing-masing berjumlah RM18,000.

Pada 13 September lalu, media melaporkan seekor kucing bunting ditemui mati dalam keadaan berdarah akibat melecur di kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Selasa minggu lalu.

Klip video daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang ditularkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia sejak awal pagi itu mendapat banyak kritikan dan maki hamun netizen.

Advertisements