ALOR SETAR: Keputusan sampel laksa yang diambil di sebuah kedai makan di Kampung Landak, Baling, yang dikatakan menyebabkan pelanggannya mengalami keracunan, akan diketahui dalam tempoh tiga hari lagi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung keputusan sampel berkenaan sebelum dapat mengesahkan punca kejadian itu.

Katanya, sekiranya keracunan itu disahkan berpunca dari laksa berkenaan, peniaga terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Makanan dan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit dan Peraturan Makanan.

“Setakat ini kita belum tahu apa jenis kuman atau bakteria yang menyebabkan masalah keracunan berlaku sehingga menyebabkan dua kematian serta membabitkan 31 kes di Perak, 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor.

“Ketika ini kedai itu sudah diarahkan ditutup sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya ketika pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kesihatan Alor Setar di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan 61 kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling dengan dua kematian membabitkan mangsa Raseah Ali Musa, 70, dan orang kurang upaya (OKU), Abdul Rahim Abdul Manan, 28, yang kedua-duanya berasal dari Gerik.

Dr Lee berkata, setakat semalam, seramai sembilan mangsa keracunan masih dirawat di Perak dan Selangor, manakala semua pesakit di Kedah sudah dibenarkan pulang.

Advertisements