ALOR SETAR: Kerajaan menolak cadangan pengusaha restoran di negara ini yang mahu menyediakan ruang khas merokok susulan larangan merokok di semua premis terbabit mulai 1 Januari depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata cadangan itu ada dikemukakan pengusaha restoran tetapi ia tidak dapat diterima kerana pihaknya perlu mengutamakan kesihatan orang ramai, terutama di tempat awam.

Katanya, masih terdapat banyak cara lain boleh digunakan perokok untuk menghilangkan ketagihan mereka, tetapi bukan dengan membawa cadangan seperti itu.

“Kita tetap melaksanakan larangan merokok di tempat awam mulai tahun depan dan tindakan akan diambil terhadap perokok serta pemilik restoran yang ingkar dengan arahan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kesihatan Alor Setar 2018 di sini, hari ini.

Semalam, terdapat cadangan dalam kalangan pengusaha restoran yang mahu menyediakan ruang khas merokok bagi memudahkan pelanggan merokok tanpa mengganggu pelanggan bukan perokok lain.

Dr Lee berkata, peniaga dan perokok yang tidak mematuhi peraturan terbabit boleh didakwa mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 32).

“Larangan ini perlu dilaksanakan segera dan ia diharap dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam kos rawatan pesakit yang berpunca daripada asap rokok,” katanya.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis di negara ini, berkuat kuasa 1 Januari tahun depan dan cadangan itu sudah diluluskan kerajaan.

Advertisements