KUALA LUMPUR: Pemansuhan hukuman mati di negara ini membabitkan semua kes jenayah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong.

Beliau berkata, dalam hal itu kerajaan tidak boleh memilih atau mengecualikan hukuman mati berdasarkan kes atau kesalahan tertentu.

“Saya dapat memahami perasaan mangsa, sangat memilukan. Tetapi jika kerajaan mahu menghapuskan (hukuman mati), kita tidak boleh hapuskan separuh saja.

Semalam Vui Keong berkata, hukuman penjara minimum 30 tahun akan dilaksanakan bagi menggantikan hukuman mati, jika pemansuhannya diluluskan Parlimen.

Katanya, terdapat 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Dalam pada itu, seramai 1,267 banduan berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 sehingga kini, tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan termasuk pembangkang dan dalam kalangan keluarga mangsa pembunuhan.

Difahamkan, rang undang-undang (RUU) bagi memansuhkan hukuman mati dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada Disember ini selepas Bajet 2019 dibahas dan diluluskan.

Advertisements